ADAB DAN TATATERTIB MASUK RUMAH BAHARU
Masuk atau berpindah ke rumah
baharu bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu disediakan,
lebih-lebih lagi bagi individu yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.
2 minggu sebelum menjelang
Ramadhan, kami sudah mulakan gerakan berpindah ke rumah baharu. Jadi banyak
persediaan yang perlu difikirkan. Kewangan, barangan rumah, dan waktu yang
bersesuaian. Jadi nak kongsi serba sedikit tentang apa yang kami telah lakukan
berdasarkan bacaan dan nasihat orang-orang yang lebih berpengalaman. Ini
hanyalah merangkumi adab-adab dan tatacara sahaja yang kami lakukan, ada banyak
lagi tatacara lain. Boleh cari di Google. Ini juga tak termasuk tatacara senarai
semak barang rumah, bayaran sewa, bil-bil, dan sebagainya. Yang itu nanti kita
cerita.
Langkah pertama: Beri Salam
Masuk sahaja rumah, beri salam,
kerana rumah yang lama ditinggalkan akan dihuni oleh makhluk-makhuk Allah yang
kita tak nampak dengan mata zahir.
Langkah kedua: Kebersihan
Hari pertama masuk rumah, bawa
siap-siap barangan untuk membersih dan mengemas secara kasar. Maksudnya
bersihkan habuk-habuk lantai, kabinet, sawang-sawang, bilik air, dan dapur. Proses
membersih secara keseluruhan boleh dilakukan kemudian. Buang
barang-barang-barang yang rasa mencurigakan. Kebersihan penting kerana jin-jin
suka pada tempat yang kotor lebih-lebih lagi bilik air. Suami saya tiba awal di
rumah kami tempoh hari, jadi beliau membersihkan rumah terlebih dahulu dengan
bantuan sahabat-sahabat beliau. Tugas saya dalam proses membersih secara
keseluruhan tu. Kena ada juga tugas, takkanlah masuk, tinggal cuci kaki saja ye
dak.
Langkah ketiga: Azan
Selesai proses membersih yang pertama,
buka semua pintu masuk keluar, pintu bilik, dan tingkap. Kemudian, minta suami
atau ahli keluarga lelaki ambil wuduk, berdiri di tengah-tengah bahagian rumah,
dan azan sehingga dengar ke seluruh rumah.
Langkah keempat: Pagar Rumah
Proses memagar rumah ini ada
banyak cara. Ini yang kami lakukan. Seminggu sebelum masuk rumah, saya telah
sediakan 2 botol air kosong. 3 malam berturut-turut, saya bacakan Yassin pada
air tersebut, kemudian bacakan juga surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali,
dan surah 3 Kul sekali. Kemudian tiup ke dalam air perlahan-lahan hingga habis
nafas. Kenapa saya buat 2 botol? Haaa.. botol pertama, kami gunakan untuk
direnjis ke setiap penjuru rumah, bermula dari kanan mengikut arah lawan jam.
Bahagian lain renjis di bahagian bawah, tetapi di bilik air, renjis di bahagian
atas kerana syaitan gemar duduk di bahagian atas bilik air. Sebab tu kita kena
tutup kepala masa buang air kan.. oh, lagi satu, minta suami buatkan kerana
bimbang perempuan ada yang lemah semangat. Ok, botol kedua pula saya gunakan
semasa proses membersih secara keseluruhan tu. Saya campurkan air Yassin itu
sedikit dengan air untuk cucian lantai, cuci tingkap, dan lain-lain. Proses ini
saya buat selepas selesai susun atur semua barang. Jadi tak perlu mop lantai
dua tiga kali.
Langkah kelima: Al-Quran
Kita digalakkan membaca surah
Al-Baqarah apabila masuk rumah baharu. Bacaan itu bukanlah sekali baca terus
habis satu surah. Tetapi bacalah selepas selesai solat. Saya mudahkan dengan
mulakan dari awal surah Al-Quran. Jadi, alang-alang dah nak masuk Ramadhan,
saya targetkan terus bacaan supaya dapat khatam sebelum tiba Syawal. Kira macam
azam Ramadhan la..hehe.. kemudian, baca Al-Quran di rumah baharu, jangan baca
di satu tempat sahaja, bacalah di setiap bilik dan ruang. Maksudnya, baca
selepas subuh di ruang tamu, baca selepas zohor di bilik utama, baca selepas
asar di bilik-bilik seterusnya. Biar seluruh rumah kedengaran bacaan Al-Quran.
Tetapi janganlah sampai ke dapur atau bilik air.
Langkah keenam:: Solat berjemaah
Meriahkan rumah dengan amalan
solat berjemaah. Kalau masing-masing sibuk kerja, cuba dapatkan satu atau dua
waktu seperti Subuh dan Maghrib.
Jadi, itu sahaja yang saya dapat
kongsi setakat ini sepanjang pengalaman kami. Semoga rumah kita sentiasa
dilindungi dan disinari dengan suasana yang aman. Doakan kami dalam proses memulakan
fasa baharu ini. In Sya Allah










0 KOMEN TERBAIK!:
Catat Ulasan
terima kasih sudi komen..anda memang terbaik!:)