Khamis, 21 Julai 2016

10

berzaman tak bersihkan emel, hari ini ambil sedikit masa untuk buang emel-emel yang tak penting. Dan baru perasan dapat emel ini daripada AirAsia.
entah bila arwah ayah booking tiket ini untuk kami sekeluarga. Rupanya dia dah rancang nak bawa kami semua ke sana even 2,3 hari sahaja. Patutlah dia pernah cakap nak bawa kami semua melawat along di Sarawak. Patutlah hampir setiap hari dia buka laman web AirAsia itu. aku ingatkan dia nak rancang untuk rombongan guru-guru besar kerana sebelum ini mereka memang aktif menjalankan rombongan dalam dan luar negara.
terima kasih ayah, sebab tak pernah jemu untuk gembirakan kami, tak pernah jemu untuk penuhi impian kami, tak pernah jemu untuk adakan apa yang kami pinta, walau kadang-kadang ayah juga serba kurangnya.
ayah, wawa rindu ayah. Sangat.

terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Khamis, 23 Jun 2016

9.

ADAB DAN TATATERTIB MASUK RUMAH BAHARU

Masuk atau berpindah ke rumah baharu bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu disediakan, lebih-lebih lagi bagi individu yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.

2 minggu sebelum menjelang Ramadhan, kami sudah mulakan gerakan berpindah ke rumah baharu. Jadi banyak persediaan yang perlu difikirkan. Kewangan, barangan rumah, dan waktu yang bersesuaian. Jadi nak kongsi serba sedikit tentang apa yang kami telah lakukan berdasarkan bacaan dan nasihat orang-orang yang lebih berpengalaman. Ini hanyalah merangkumi adab-adab dan tatacara sahaja yang kami lakukan, ada banyak lagi tatacara lain. Boleh cari di Google. Ini juga tak termasuk tatacara senarai semak barang rumah, bayaran sewa, bil-bil, dan sebagainya. Yang itu nanti kita cerita.

Langkah pertama: Beri Salam
Masuk sahaja rumah, beri salam, kerana rumah yang lama ditinggalkan akan dihuni oleh makhluk-makhuk Allah yang kita tak nampak dengan mata zahir.

Langkah kedua: Kebersihan
Hari pertama masuk rumah, bawa siap-siap barangan untuk membersih dan mengemas secara kasar. Maksudnya bersihkan habuk-habuk lantai, kabinet, sawang-sawang, bilik air, dan dapur. Proses membersih secara keseluruhan boleh dilakukan kemudian. Buang barang-barang-barang yang rasa mencurigakan. Kebersihan penting kerana jin-jin suka pada tempat yang kotor lebih-lebih lagi bilik air. Suami saya tiba awal di rumah kami tempoh hari, jadi beliau membersihkan rumah terlebih dahulu dengan bantuan sahabat-sahabat beliau. Tugas saya dalam proses membersih secara keseluruhan tu. Kena ada juga tugas, takkanlah masuk, tinggal cuci kaki saja ye dak.

Langkah ketiga: Azan
Selesai proses membersih yang pertama, buka semua pintu masuk keluar, pintu bilik, dan tingkap. Kemudian, minta suami atau ahli keluarga lelaki ambil wuduk, berdiri di tengah-tengah bahagian rumah, dan azan sehingga dengar ke seluruh rumah.

Langkah keempat: Pagar Rumah
Proses memagar rumah ini ada banyak cara. Ini yang kami lakukan. Seminggu sebelum masuk rumah, saya telah sediakan 2 botol air kosong. 3 malam berturut-turut, saya bacakan Yassin pada air tersebut, kemudian bacakan juga surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, dan surah 3 Kul sekali. Kemudian tiup ke dalam air perlahan-lahan hingga habis nafas. Kenapa saya buat 2 botol? Haaa.. botol pertama, kami gunakan untuk direnjis ke setiap penjuru rumah, bermula dari kanan mengikut arah lawan jam. Bahagian lain renjis di bahagian bawah, tetapi di bilik air, renjis di bahagian atas kerana syaitan gemar duduk di bahagian atas bilik air. Sebab tu kita kena tutup kepala masa buang air kan.. oh, lagi satu, minta suami buatkan kerana bimbang perempuan ada yang lemah semangat. Ok, botol kedua pula saya gunakan semasa proses membersih secara keseluruhan tu. Saya campurkan air Yassin itu sedikit dengan air untuk cucian lantai, cuci tingkap, dan lain-lain. Proses ini saya buat selepas selesai susun atur semua barang. Jadi tak perlu mop lantai dua tiga kali.

Langkah kelima: Al-Quran
Kita digalakkan membaca surah Al-Baqarah apabila masuk rumah baharu. Bacaan itu bukanlah sekali baca terus habis satu surah. Tetapi bacalah selepas selesai solat. Saya mudahkan dengan mulakan dari awal surah Al-Quran. Jadi, alang-alang dah nak masuk Ramadhan, saya targetkan terus bacaan supaya dapat khatam sebelum tiba Syawal. Kira macam azam Ramadhan la..hehe.. kemudian, baca Al-Quran di rumah baharu, jangan baca di satu tempat sahaja, bacalah di setiap bilik dan ruang. Maksudnya, baca selepas subuh di ruang tamu, baca selepas zohor di bilik utama, baca selepas asar di bilik-bilik seterusnya. Biar seluruh rumah kedengaran bacaan Al-Quran. Tetapi janganlah sampai ke dapur atau bilik air.

Langkah keenam:: Solat berjemaah
Meriahkan rumah dengan amalan solat berjemaah. Kalau masing-masing sibuk kerja, cuba dapatkan satu atau dua waktu seperti Subuh dan Maghrib.


Jadi, itu sahaja yang saya dapat kongsi setakat ini sepanjang pengalaman kami. Semoga rumah kita sentiasa dilindungi dan disinari dengan suasana yang aman. Doakan kami dalam proses memulakan fasa baharu ini. In Sya Allah

terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Rabu, 20 April 2016

8

Angin bawalah aku pergi
Pergi dari kesakitan ini
Tak mampu ku menahan peritnya perpisahan
Tuhan hapuskan semua kenangan

Tak ku menduga kau berlalu pergi
Tinggalkan semua mimpi dan janji
Terluka aku menangis
Tersedar kau hilang di hati

Ya Rabb, sampaikan salam rindu aku pada ayah.

Al-Fatihah

terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Rabu, 13 April 2016

7

Uncle Cina
Sunyi suasana stesen keretapi tengahari itu. Duduk termenung sementara menunggu ketibaan keretapi seterusnya ke KL Sentral. Datang seorang uncle Cina duduk berdekatan denganku. Dari raut wajahnya, umurnya mungkin sekitar 50 lebih, masih kuat, malah pakaiannya jugak cukup kemas walaupun hanya berbaju t-shirt dan berseluar slack. Aku intai di tangannya tersisip dua keping tiket. Jika ikut pada mulut aku mahu saja bertanya sekadar memecah kesunyian. Tapi terbantut dek wajah sayunya yang aku rasa dia tidak mahu diganggu pada waktu itu.
‘U mahu pergi mana cik?’ terkejut aku dengan tegurannya.
‘KL Sentral, Uncle?’ jawab aku dengan sedikit senyum.
‘Oh.. uncle takdak mau pergi mana. Baru saja beli tiket bas. Tapi mahu kasi jual semula maa..’ jelasnya dengan pelatnya yang mujur dapat aku faham.
‘kalau mau jual balik, kenapa uncle beli tadi?’ akhirnya perangai menyibuk aku sudah bermula dan tak dapat dibendung, damn!
‘uncle beli tiket pergi Butterworth, Penang sana. Mau bawak uncle punya wife jalan-jalan. Tadi baru dapat gaji, terus uncle beli tiket. Tapi bila uncle pikir balik, uncle takut wife uncle takmau pergi sana. ‘
‘Penang seronok la uncle kalau mau pergi jalan-jalan. Saya dulu study sana. Banyak tempat best’
‘Uncle tau. Itu pasal uncle mau bawak wife uncle. Tapi uncle confirm itu perempuan tua takmau pergi. Nanti dia cakap sakit lutut la, jauh la, panas la.. ‘ ceritanya bersungguh-sungguh.
Aku tergelak kecil dengan ungkapan ‘perempuan tua’ itu.
‘Sebenarnya sejak kami married, uncle tak pernah bawak dia jalan-jalan. Uncle bukan kaya punya orang. Gaji pun tak banyak. Tapi uncle sudah niat dalam hati, dari dulu lagi, uncle nak bawak dia jalan-jalan. Sekarang duit yang uncle simpan sikit-sikit, uncle rasa cukup ja mau bawak dia jalan-jalan, shopping, makan-makan kat sana’
Aku terus terdiam,tak tahu nak respon bagaimana. Dalam hati aku, aku kagum dengan kesungguhan lelaki tua di sebelah aku itu.
‘Emm uncle, saya rasa kalau uncle beritahu dulu wife uncle yang uncle dah beli tiket, mesti dia akan ikut. Kalau saya, husband saya ajak pergi kedai runcit pun saya dah seronok uncle. Uncle beritahu la dia yang uncle dah usaha kumpul duit nak bawak dia jalan-jalan’
Dia tersenyum sambil lipat tiket itu dan memasukkannya dalam dompet.
‘ok, uncle pergi beritahu dia betul-betul punya.’
‘ok uncle.. uncle ni romantik la..hehehe’
‘hahahaha… uncle tau maa.. kalau itu perempuan tua tak mau ikut, uncle masukkan dia dalam beg, kasi angkat pergi Penang. ‘ dan dia pun berlalu ke kereta tuanya.
Dan aku, dia tinggalkan dengan satu kesan mendalam pada hati aku.

Sampai hujung usia, kau korban demi orang yang kau sayang, kau simpan baik-baik tiket tu uncle cina, aku simpan baik-baik pertemuan singkat kita.

terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Isnin, 11 April 2016

6

KISAH TENTANG RINDU


















terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Sabtu, 2 April 2016

5

Cukup-cukuplah

Apa sangat nak diceritakan bahagia,
Apa sangat nak dikisahkan derita,
Benar laman itu kita yang punya,
Tapi hati manusia bukan kita yang jaga.

Bukan kisah puji puja mereka,
Cuma bimbang dengki keji manusia,
Cuma simpati dengar umpat mereka dan dia,
Cuma takut datang kecewa pada yang tak upaya,
Cuma gentar undang rasa tidak syukur dengan apa yang mereka ada,
Cuma ngeri senyuman atas kisah derita kita.
Kau salah aku kena tegur,
Aku silap kau kena campur,
Bukan nak saling menghancur,
Tak,
Sebab ada ikatan sayang yang kita kena akur.
Hakikatnya kita sama-sama diuji,
Diuji atas kekhilafan yang ditegur,
Diuji atas rasa bangga menegur,
Nauzubillah.

Berceritalah yang sekadar sahaja,
Berkongsilah yang sepatutnya sahaja,
Berkisahlah yang kita gembira seadanya,
Sebab hati kita semua tak sama,
Setan suruh dengki, kekadang diikut juga,
Itu yang bahaya.

Cukup-cukuplah.
terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Selasa, 29 Mac 2016

4

Hidup kita dikelilingi dengan ramai dan pelbagai macam insan. Tanpa kita sedar, kita sudah mencipta beribu, malah berjuta kenangan. Daripada sekecil-kecil kenangan hingga yang terbesarnya, daripada semanis-manis kenangan hingga yang terpahitnya.

'Wawa, mana hardisk ayah yang ayah selalu guna dulu tu?'
'Entahlah mak, biasa ada dalam beg komputer ayah.'
Dan aku terdiam, baru sedar, lamanya tak sebut perkataan tu. BEG KOMPUTER AYAH.
Resam tugas kami adik beradik setiap awal malam, akan ada yang disuruh oleh ayah,
'Tolong amikkan beg komputer ayah dalam kereta.' 
Sungguh aku rindu dengan arahan itu.
Hampir tiap malam juga ayah menatap komputernya, terkadang berhenti sebentar untuk makan,atau order wawa buatkan kopi, atau bermain dengan Bulat si kucing. Tapi meniti akhir usianya, ayah dah kurang makan semua makanan kesukaan ayah. Khilaf wawa, langsung tak sedar semua itu.
Ayah, malam ini beg komputer ayah dah buat wawa terlalu rindukan ayah. Beg yang ayah bawa merata walaupun pergi minum ke kedai kopi, tergelak kecil wawa membayangkan ayah seperti budak sekolah menyandang beg menaiki motor. 
Dah tak ada lagi beg komputer lusuh yang kami adik beradik nak ambil dari kereta, dah tak ada lagi kopi kurang manis yang wawa nak buatkan untuk ayah, sebab menantu ayah itu nak yang cukup manisnya, kalau ayah masih ada, tentu dah minum berdua dengannya. Allahurabbi.
Buat semua yang masih punya insan untuk disapa sebagai ayah, abah, bapa, papa, bangun dan sediakanlah minuman kegemaran mereka, selagi kita masih punya waktu.
Tenanglah ayah, tak ada kopi kurang manis lagi, tapi doa lebih kasih saja yang ada untuk ayah. 
Al-fatihah.

terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...