Khamis, 23 Jun 2016

9.

ADAB DAN TATATERTIB MASUK RUMAH BAHARU

Masuk atau berpindah ke rumah baharu bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu disediakan, lebih-lebih lagi bagi individu yang baru memulakan kehidupan berkeluarga.

2 minggu sebelum menjelang Ramadhan, kami sudah mulakan gerakan berpindah ke rumah baharu. Jadi banyak persediaan yang perlu difikirkan. Kewangan, barangan rumah, dan waktu yang bersesuaian. Jadi nak kongsi serba sedikit tentang apa yang kami telah lakukan berdasarkan bacaan dan nasihat orang-orang yang lebih berpengalaman. Ini hanyalah merangkumi adab-adab dan tatacara sahaja yang kami lakukan, ada banyak lagi tatacara lain. Boleh cari di Google. Ini juga tak termasuk tatacara senarai semak barang rumah, bayaran sewa, bil-bil, dan sebagainya. Yang itu nanti kita cerita.

Langkah pertama: Beri Salam
Masuk sahaja rumah, beri salam, kerana rumah yang lama ditinggalkan akan dihuni oleh makhluk-makhuk Allah yang kita tak nampak dengan mata zahir.

Langkah kedua: Kebersihan
Hari pertama masuk rumah, bawa siap-siap barangan untuk membersih dan mengemas secara kasar. Maksudnya bersihkan habuk-habuk lantai, kabinet, sawang-sawang, bilik air, dan dapur. Proses membersih secara keseluruhan boleh dilakukan kemudian. Buang barang-barang-barang yang rasa mencurigakan. Kebersihan penting kerana jin-jin suka pada tempat yang kotor lebih-lebih lagi bilik air. Suami saya tiba awal di rumah kami tempoh hari, jadi beliau membersihkan rumah terlebih dahulu dengan bantuan sahabat-sahabat beliau. Tugas saya dalam proses membersih secara keseluruhan tu. Kena ada juga tugas, takkanlah masuk, tinggal cuci kaki saja ye dak.

Langkah ketiga: Azan
Selesai proses membersih yang pertama, buka semua pintu masuk keluar, pintu bilik, dan tingkap. Kemudian, minta suami atau ahli keluarga lelaki ambil wuduk, berdiri di tengah-tengah bahagian rumah, dan azan sehingga dengar ke seluruh rumah.

Langkah keempat: Pagar Rumah
Proses memagar rumah ini ada banyak cara. Ini yang kami lakukan. Seminggu sebelum masuk rumah, saya telah sediakan 2 botol air kosong. 3 malam berturut-turut, saya bacakan Yassin pada air tersebut, kemudian bacakan juga surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, dan surah 3 Kul sekali. Kemudian tiup ke dalam air perlahan-lahan hingga habis nafas. Kenapa saya buat 2 botol? Haaa.. botol pertama, kami gunakan untuk direnjis ke setiap penjuru rumah, bermula dari kanan mengikut arah lawan jam. Bahagian lain renjis di bahagian bawah, tetapi di bilik air, renjis di bahagian atas kerana syaitan gemar duduk di bahagian atas bilik air. Sebab tu kita kena tutup kepala masa buang air kan.. oh, lagi satu, minta suami buatkan kerana bimbang perempuan ada yang lemah semangat. Ok, botol kedua pula saya gunakan semasa proses membersih secara keseluruhan tu. Saya campurkan air Yassin itu sedikit dengan air untuk cucian lantai, cuci tingkap, dan lain-lain. Proses ini saya buat selepas selesai susun atur semua barang. Jadi tak perlu mop lantai dua tiga kali.

Langkah kelima: Al-Quran
Kita digalakkan membaca surah Al-Baqarah apabila masuk rumah baharu. Bacaan itu bukanlah sekali baca terus habis satu surah. Tetapi bacalah selepas selesai solat. Saya mudahkan dengan mulakan dari awal surah Al-Quran. Jadi, alang-alang dah nak masuk Ramadhan, saya targetkan terus bacaan supaya dapat khatam sebelum tiba Syawal. Kira macam azam Ramadhan la..hehe.. kemudian, baca Al-Quran di rumah baharu, jangan baca di satu tempat sahaja, bacalah di setiap bilik dan ruang. Maksudnya, baca selepas subuh di ruang tamu, baca selepas zohor di bilik utama, baca selepas asar di bilik-bilik seterusnya. Biar seluruh rumah kedengaran bacaan Al-Quran. Tetapi janganlah sampai ke dapur atau bilik air.

Langkah keenam:: Solat berjemaah
Meriahkan rumah dengan amalan solat berjemaah. Kalau masing-masing sibuk kerja, cuba dapatkan satu atau dua waktu seperti Subuh dan Maghrib.


Jadi, itu sahaja yang saya dapat kongsi setakat ini sepanjang pengalaman kami. Semoga rumah kita sentiasa dilindungi dan disinari dengan suasana yang aman. Doakan kami dalam proses memulakan fasa baharu ini. In Sya Allah

terima kasih daun keladi,kalau suka,klik like bawah ni:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...